Nabi Zakaria a.s.,
ayah kepada Nabi Yahya sedar dan mengetahui bahawa anggota-anggota
keluarganya, saudara-saudaranya, sepupu-sepupunya dan anak-anak
saudaranya adalah orang-orang jahat Bani Israil yang tidak segan-segan melanggar hukum-hukum agama
dan berbuat maksiat, disebabkan iman dan rasa keagamaan mereka belum
meresap betul didalam hati mereka, sehingga dengan mudah mereka tergoda
dan terjerumus ke dalam lembah kemungkaran dan kemaksiatan. Ia khuatir
bila ajalnya tiba dan meninggalkan mereka tanpa seorang waris
yang dapat melanjutkan pimpinannya atas kaumnya, bahawa mereka akan
makin rosak dan makin berani melakukan kejahatan dan kemaksiatan bahkan
ada kemungkinan mereka mengadakan perubahan-perubahan di dalam kitab
suci Taurat dan menyalah-gunakan hukum-hukum agama.
Kekhuatiran itu selalu mengganggu fikiran Zakaria disamping rasa
sedih hatinya bahawa ia sejak kahwin hingga mencapai usia sembilan puluh
tahun, Tuhan belum mengurniakannya dengan seorang anak yang ia
idam-idamkan untuk menjadi penggantinya memimpin dan mengimami Bani
Isra'il. Ia agak terhibur dari rasa sedih dan kekhuatirannya semasa ia
bertugas memelihara dan mengawasi Maryam yang dapat dianggap sebagai
anak kandungnya sendiri. Akan tetapi rasa sedihnya dan keinginanya yang
kuat untuk memperolehi keturunan tergugah kembali ketika ia menyaksikan
mukjizat hidangan makanan dimihrabnya Maryam. Ia berfikir didalam
hatinya bahawa tiada sesuatu yang mustahil di dalam kekuasaan Allah.
Allah yang telah memberi rezeki kepada Maryam dalam keadaan seorang
diri tidak berdaya dan berusaha, Dia pula berkuasa memberinya keturunan
bila Dia kehendaki walaupun usianya sudah lanjut dan rambutnya sudah
penuh uban.
Pada suatu malam yang sudah larut duduklah Zakaria di mihrabnya
menghening cipta memusatkan fikiran kepada kebesaran Allah seraya
bermunajat dan berdoa dengan khusyuk dan keyakinan yang bulat. Dengan
suara yang lemah lembut dia berdoa: "Ya Tuhanku, berikanlah aku seorang
putera yang akan mewarisiku dan mewarisi sebahagian dari keluarga
Ya'qub, yang akan meneruskan pimpinan dan tuntunanku kepada Bani
Isra'il. Aku khuatir bahawa sepeninggalanku nanti anggota-anggota
keluargaku akan rosak kembali aqidah dan imannya bila aku tinggalkan
mati, tanpa seorang pemimpin yang akan menggantikan aku. Ya Tuhanku,
tulangku telah menjadi lemah dan kepalaku telah dipenuhi uban, sedang
isteriku adalah seorang perempuan yang mandul. Namun kekuasaan-Mu adalah
di atas segala kekuasaan dan aku tidak jemu-jemu berdoa kepadamu
memohon rahmat-Mu mengurniai kau seorang putera yang soleh yang engkau
redhai."
Allah
berfirman memperkenankan permohonan Zakaria: "Wahai Zakaria Kami memberi
khabar gembira kepadamu, kamu akan memperoleh seorang putera bernama
Yahya yang soleh yang membenarkan kitab-kitab Allah, menjadi pemimpin
yang diikuti, bertahan diri dari hawa nafsu dan godaan syaitan serta
akan menjadi seorang nabi."Zakaria berkata "Ya Tuhanku, bagaimana aku
akan memperolehi anak sedangkan isteriku adalah seorang perempuan yang
mandul dan aku sendiri sudah lanjut usia."
Allah menjawab dengan firman-Nya: "Demikian itu adalah suatu hal yang
mudah bagi-Ku. Tidakkah aku telah ciptakan engkau, padahal engkau di
waktu itu belum ada sama sekali?"Zakaria berkata "Ya Tuhanku, berilah
aku akan suatu tanda bahawa isteri aku telah mengandung." Allah
berfirman: "Tandanya bagimu bahawa engkau tidak dapat berkata-kata
dengan manusia selama tiga hari berturut-turut kecuali dengan isyarat.
Dan sebutlah nama-Ku sebanyak-banyaknya serta bertasbihlah di waktu
petang dan pagi hari."
Nabi Yahya bin Zakaria a.s. tidak banyak dikisahkan oleh Al-Quran
kecuali bahawa ia diberi ilmu dan hikmah semasa dia masih kanak-kanak
dan bahawa ia seorang putera yang berbakti kepada kedua orang tuanya dan
bukanlah orang yang sombong durhaka. Ia terkenal cerdik pandai,
berfikiran tajam sejak ia berusia muda, sangat tekun beribadah yang
dilakukan siang dan malam sehingga berpengaruh kepada kesihatan badannya
dan menjadikannya kurus kering, wajahnya pucat dan matanya cekung.
Ia dikenal oleh kaumnya sebagai orang alim menguasai soal-soal
keagamaan, hafal kitab Taurat, sehingga ia menjadi tempat bertanya
tentang hukum-hukum agama. Ia memiliki keberanian dalam mengambil
sesuatu keputusan, tidak takut dicerca orang dan tidak pula menghiraukan
ancaman pihak penguasa dalam usahanya menegakkan kebenaran dan melawan
kebathilan.Dia selalu menganjurkan orang-orang yang telah berdosa agar
bertaubat dari dosa mereka. Dan sebagai tanda taubatnya mereka
dimandikan { dibaptiskan } di sungai Jordan,
kebiasaan mana hingga kini berlaku di kalangan orang-orang Kristian dan
kerana Nabi Yahya adalah orang pertama yang mengadakan upacara itu,
maka ia dijuluki "Yahya Pembaptis".
Dikisahkan bahawa Hirodus Penguasa Palestin
pada waktu itu mencintai anak saudaranya sendiri bernama Hirodia,
seorang gadis yang cantik, ayu, bertubuh lampai dan ramping dan
berhasrat ingin mengahwininya. Sang gadis berserta ibunya dan seluruh
anggota keluarga menyetujui rencana perkahwinan itu, namun Nabi Yahya
menentangnya dan mengeluarkan fatwa
bahawa perkahwinan itu tidak boleh dilaksanakan kerana bertentangan
dengan syariat Musa yang mengharamkan seorang mengahwini anak saudaranya
sendiri.
Berita rencana perkahwinan Hirodus dan Hirodia serta fatwa Nabi Yahya yang melarangnya tersiar di seluruh pelusuk kota
dan menjadi pembicaraan orang di segala tempat di mana orang berkumpul.
Herodia si gadis cantik calon isteri itu merasa sedih bercampur marah
terhadap Nabi Yahya yang telah mengeluarkan fatwa mengharamkan
perkahwinannya dengan bapa saudaranya sendiri, yang telah membawa reaksi
dan pendapat di kalangan masyarakat yang luas. Dia khuatir bahawa bapa
saudaranya, calon suaminya, Herodus, dapat terpengaruh oleh fatwa Nabi
Yahya itu dan terpaksa membatalkan perkahwinan yang sudah dinanti-nanti
dan diidam-idamkan, bahkan sudah menyiapkan segala sesuatu berupa
pakaian mahupun peralatan yang perlu untuk pesta perkahwinan yang telah
disepakati itu.
Menghadapi fatwa Nabi Yahya dan reaksi masyarakat itu, Herodia tidak
tinggal diam. Ia berusaha dengan bersenjatakan kecantikan dan parasnya
yang ayu itu mempengaruhi bapa saudaranya calon suaminya agar rencana perkahwinan dilaksanakan. Dengan merias diri dan berpakaian yang merangsang, ia pergi mengunjungi bapa saudaranya Herodus yang sedang dilanda mabuk asmara. Bertanya Herodus kepada anak saudaranya calon isterinya yang nampak lebih cantik
daripada biasa : "Hai manisku, apakah yang dapat aku berbuat untukmu?.
Katakanlah. Aku akan patuhi segala permintaanmu. Kedatanganmu kemari
pada saat ini tentu didorong oleh sesuatu hajat yang mendesak yang ingin
engkau sampaikan kepadaku. Sampaikanlah kepadaku tanpa ragu-ragu, hai
sayangku, aku sedia melayani segala keperluan dan keinginanmu."
Herodia menjawab: "Jika Tuanku berkenan, maka aku hanya mempunyai
satu permintaan yang mendorongku datang mengunjungi Tuanku pada saat
ini. Permintaanku yang tunggal itu ialah kepala Yahya bin Zakaria orang
yang telah mengacau rencana kita dan mencemarkan nama baik Tuanku dan
namaku sekeluarga di segala tempat dan penjuru. Supaya dia dipenggal
kepalanya. Alangkah puasnya hatiku dan besarnya terima kasihku, bila
Tuanku memperkenankan permintaanku ini". Herodus yang sudah tergila-gila
dan tertawan hatinya oleh kecantikan dan keelokan Herodia tidak
berkutik menghadapi permintaan calon isterinya itu dan tidak dapat
berbuat selain tunduk kepada kehendaknya dengan mengabaikan suara hati
nuraninya dan panggilan akal sihatnya. Demikianlah maka tiada berapa
lama dibawalah kepala Yahya bin Zakaria berlumuran darah dan diletakkannya di depan kesayangannya Herodia yang tersenyum tanda gembira dan puas hati bahawa hasratnya membalas dendam
terhadap Yahya telah terpenuhi dan rintangan utama yang akan
menghalangi rencana perkahwinannya telah disingkirkan, walaupun
perbuatannya itu menurunkan laknat Tuhan atas dirinya, diri rajanya dan Bani Isra'il seluruhnya.
Cerita tentang Zakaria dan Yahya terurai di atas dikisahkan oleh Al-Quran, surah Maryam ayat 2 sehingga ayat 15, surah Ali Imran ayat 38 senhingga ayat 41 dan surah Al-Anbiya' ayat 89 sehingga ayat 90.

Tidak ada komentar:
Posting Komentar